KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak berhasrat mencapai pertumbuhan mampan dan kemakmuran melalui sektor tenaga boleh diperbaharui dengan menjadi kuasa tenaga Asia Tenggara (ASEAN).
Beliau berkata, pertumbuhan mampan itu boleh dicapai dengan kemampuan membekal tenaga boleh diperbaharui dan lestari di wilayah ASEAN.
“Sarawak yakin dapat mencapai sasaran itu dengan mengambil kira tenaga hidro boleh diperbaharui dan sumber semula jadi yang banyak di negeri ini,” katanya pada Majlis Townhall Ke-100 Sarawak Energy Berhad di sini.
Menurut Ketua Menteri, sejak 2016, Sarawak berjaya mengeksport bekalan elektrik boleh diperbaharui ke Kalimantan Barat dan pada masa hadapan Sarawak akan mula mengeskport tenaga ke Sabah dan berjaya membina Grid Borneo dan menjadi pembekal tenaga (bateri) ASEAN.
Selain itu, beliau berkata, projek Kalimantan Utara juga berjalan lancar sebagai persediaan mencapai matlamat berkenaan.
Apabila projek itu siap kelak, Ketua Menteri menegaskan, ia akan memberi sumbangan besar kepada kelestarian bekalan elektrik, pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran.
Beliau menzahirkan rasa gembira kerana Sarawak Energy Bhd (SEB) sebagai pembekal tenaga utama di Sarawak dan pemaju tenaga boleh diperbaharui di Malaysia, terus memain peranan utama dalam menggerakkan transformasi negeri ini.
Abang Johari turut berpuas hati dengan kerja serta kemajuan membekalkan elektrik di Sarawak terutama kepada penduduk luar bandar di bawah Projek Rakyat melalui Pelan Induk Bekalan Elektrik Luar Bandar dengan kerjasama Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi dan Sarawak Energy.
Pada 2009 kadar bekalan elektrik di luar bandar hanya 56 peratus tetapi sekarang kira-kira 97 peratus melalui talian grid, solar dan sistem tenaga hidro mikro dan ini banyak membantu meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar di negeri ini.
Beliau yakin dengan usaha berterusan dan bersungguh-sungguh, Sarawak mampu mencapai 100 peratus bekalan elektrik menjelang 2025.
Ketua Menteri menegaskan, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahu membina masa depan cerah untuk generasi akan datang dan dengan demikian kelestarian bekalan elektrik adalah penggeraknya.
“Kita harus membangunkan sepenuhnya perkara yang positif dan mengurangkan impak negatif dalam usaha berterusan membangunkan rakyat dan negeri ini,” tegas beliau.
Sejajar dengan matlamat itu, katanya, Sarawak telah mengambil langkah, melaksanakan aktiviti kelestarian seperti agenda tenaga hijau, ekonomi rendah karbon, ekonomi hidrogen dan ekonomi digital.
Centenary Townhall itu diadakan secara hibrid yang dihadiri oleh kakitangan SEB di 19 stesen, dari rumah dan tempat kerja individu yang disiar secara langsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK). Majlis Townhall itu mencerminkan perjalanan transformasi SEB sejak 100 tahun lalu dan merancang pembangunan untuk 100 tahun akan datang.
SEB menyambut ulang tahun Ke-100 pada 2021 tetapi sambutan itu ditangguh berikutan sekatan dan pandemik.
Hadir sama Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi dan Pegawai Eksekutif SEB, Datu Sharbini Suhaili.
Sumber dari : Jiwa Bakti